Nasi ayam RM1.90, bantu individu memerlukan - Utusan Malaysia

Nasi ayam RM1.90, bantu individu memerlukan

SITI Nor Abdul Ghani (tengah) menunjukkan nasi ayam yang dijualnya dengan harga hanya RM1.90 ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Bukit Rokan, Tampin, semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Pengusaha ternakan ayam di sini mengambil kaedah berbeza untuk membantu golongan yang terkesan menghadapi pandemik Covid-19 pada waktu ini dengan menawarkan menu hidangan yang murah.

Siti Nor Abdul Ghani, 31, dari Felda Bukit Rokan, dekat sini menawarkan menu nasi ayam dengan harga serendah RM1.90 sejak Julai tahun lalu bagi meringankan beban individu yang memerlukan selain memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ingin melakukan kerja amal.

Menurutnya, beliau terpanggil untuk menyediakan menu nasi ayam dengan harga murah selepas menerima maklum balas hasil program-program amal di mana penerima juga lebih memerlukan makanan yang telah siap sedia untuk dimakan.

“Jika mahu dikira untung memang sedikit sahaja itu pun sekiranya nasi ayam ini boleh terjual sebanyak 200 bungkus sehari, tetapi, saya dan suami, Mohd. Azally Azwar Ghazali, 31, tetap menjualnya sehingga ke hari ini.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kami ada menghantar bantuan makanan asas kepada keluarga memerlukan, ketika itu kami lihat ada yang memerlukan makanan yang sudah siap sedia boleh dimakan jadi timbul idea untuk menyediakan menu nasi ayam dengan harga bajet ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.

Menurut Siti Nor, kerana dia dan suami memiliki ladang ternakan ayam di Melang, Kuala Pilah, dia berpandangan mampu menanggung kos untuk menyediakan makanan tersebut yang kebiasaannya dijual pada harga serendah RM3.

“Semasa mula-mula jual ada yang tidak percaya dan mereka menyangkakan potongan ayam yang kami sediakan mesti bersaiz kecil tapi apabila mereka sudah membelinya rata-rata berpuas hati dan berasa berbaloi.

“Kebiasaannya pada hari Jumaat, jualan kami melonjak sehingga pernah mencecah 500 bungkus kerana banyak pihak yang membuat tempahan untuk disedekahkan kepada masjid, pusat tahfiz dan rumah anak-anak yatim,” katanya.

Tambahnya, kerana tempahan yang diterimanya menggalakkan, dia juga menawarkan hadiah cabutan bertuah setiap tiga bulan sekali kepada mana-mana pihak yang membuat tempahan 10 bungkus nasi ayam berkenaan.

“Awal-awal dahulu, saya buat peraduan setiap bulan dengan menawarkan beg tangan berjenama, namun, kali ini, saya buat tiga bulan sekali, namun, tawarannya lebih berbaloi di mana mereka berpeluang memenangi loket emas. Walaupun harga 10 bungkus nasi ayam itu tidak sama dengan hadiah berkenaan, namun, kami sangat gembira dapat memberi seperti ini dan berkongsi rezeki,” katanya.

Individu yang berminat untuk membuat tempahan nasi ayam berharga RM1.90 boleh menghubungi pembantu peribadi Siti Nor iaitu Nur Syaza Izzrin Zaidi di talian 01119252149. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya