KEPALA BATAS: Kesibukan tugas sebagai seorang penjawat awam dan ibu kepada dua cahaya mata yang masih kecil tidak menghalang seorang wanita mengusahakan gerai nasi ayam penyet bersama ahli keluarganya di sini sejak lebih tiga bulan lalu.
Nur Dalila Abdul Manab, 30, berkata, dia memilih berniaga nasi ayam penyet kerana melihat potensi besar dalam perniagaan itu selain tidak banyak saingan di kawasan berkenaan.
“Sebenarnya sebelum membuka gerai ini, saya terlebih dahulu menjual sambal ayam penyet yang dihasilkan menggunakan resipi sendiri selepas belajar melalui laman YouTube.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan saya dengan bantuan adik-beradik serta beberapa ahli keluarga yang lain kemudian memberanikan diri untuk membuka gerai sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jenama ‘Nasi Ayam Penyet by dilaabdmanab’ itu kini menjadi bualan dalam kalangan penduduk setempat khususnya di sekitar Kepala Batas dan beberapa kawasan lain di Seberang Perai Utara hingga pernah ditularkan beberapa portal berita tempatan.
Jelas Nur Dalila, kebiasaannya mereka menjual hingga 200 bungkus nasi ayam penyet berharga RM8 sebungkus setiap hari iaitu antara Isnin hingga Jumaat.
“Kami mula berniaga sekitar pukul 12 tengah hari dan sebelum pukul 2 petang, nasi tersebut telah habis,” katanya yang akan menyediakan sambal tersebut pada setiap malam kerana perlu bekerja keesokan harinya.
Kata anak sulung daripada empat beradik itu, perubahan jadual kerja khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagaimanapun sedikit melegakannya kerana tidak perlu berulang-alik hampir setiap hari ke pejabatnya di Bayan Baru, dekat sini.
Pada masa yang sama katanya, perubahan itu juga memberikan lebih ruang dan peluang kepadanya untuk berada di gerai tersebut bersama ahli keluarga yang lain.
Bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu dalam jurusan Komunikasi Massa itu turut menyimpan impian melebarkan sayap perniagaannya dengan mempelbagaikan jenis masakan ayam sekiranya berjaya membuka kedai makan sendiri tidak lama lagi.
“Setakat ini, kami rancang membuka cawangan di Seberang Jaya kerana permintaan terhadap nasi ayam penyet keluaran kami di situ agak tinggi,” katanya yang memberitahu, suaminya yang kini menetap di Alor Setar, Kedah atas urusan kerja turut membantu mempromosikan perniagaan mereka di sana khususnya berkaitan sambal ayam penyet. -UTUSAN ONLINE