SHAH ALAM: Atas dasar keprihatinan, Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif memberikan rawatan secara percuma kepada masyarakat yang memerlukan.
Pengerusi My Heart, Dr. Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili berkata, inisiatif tersebut adalah berikutan pihaknya menyedari masih terdapat ramai yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Menurutnya, setakat ini, pertubuhannya telah memberikan rawatan kepada lebih 1,000 pesakit di seluruh negara.
“Pada mulanya, kita hanya memfokuskan memberi rawatan dan menaja perbelanjaan untuk pesakit jantung.
“Namun, melihat keadaan ramai yang memerlukan, kita memberikan rawatan percuma seperti mencuci luka, sesi fisioterapi, tukar tiub rawatan dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Alora di Seksyen 25, di sini hari ini.
Menurut Dr. Ahmad Luqman, pertubuhannya mempunyai lima cawangan iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Sabah dan Pahang serta merancang untuk membuka cawangan lain di negeri lain.
“Dengan mensasarkan lebih banyak pesakit untuk dirawat, kita mengharapkan orang ramai dapat memberikan sumbangan bagi menjayakan misi tersebut.
“Kita juga merancang untuk membeli dua buah ambulans bagi membawa pesakit ke hospital sekiranya mereka memerlukan perkhidmatan tersebut,” katanya.
Tambahnya. mana-mana individu yang mahu beri sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB MyHeart 8603092023.
Sementara itu, ayah kepada mangsa kemalangan jalan raya, Muhammad Riduan Yeo Abdullah, 54, berterima kasih kepada pertubuhan tersebut kerana sudi merawat anaknya, Muhammad Faiz Yeo, 20, sebanyak tiga kali.
Menurutnya, anaknya itu terlibat dengan kemalangan motosikal apabila dilanggar sebuah kereta semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Seksyen 25, September tahun lalu.
Katanya, akibat kemalangan itu, anaknya dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selama 78 hari kerana koma.
“Kini, anak saya yang tidak boleh bergerak dan agak sukar untuk kami membawanya untuk mendapatkan rawatan di hospital.
“Bagi mendapatkan rawatan, Hospital Shah Alam akan datang bawa anak saya menaiki ambulans kerana dia ada temu janji dengan doktor pada Isnin hadapan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE