KUALA LUMPUR: Penaja Parti Perikatan Demokratik (Muda) hari ini gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang tidak meluluskan permohonan mereka mendaftarkan parti itu.
Ini kerana plaintif yang terdiri daripada 13 penaja parti masih mempunyai mempunyai ruang untuk merayu terhadap keputusan jabatan tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan demikian dengan kos RM2,000 pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom hari ini.
Pada 12 Januari lalu, Muda yang diwakili oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 lagi individu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan ROS dan Menteri Dalam Negeri yang dinamakan sebagai responden tidak meluluskan pendaftaran parti itu.
Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan keputusan oleh responden dibuat dengan melangkaui kuasa (ultra vires) dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kesemua penaja terbabit turut menyatakan ROS dan menteri telah menjalankan tanggung jawab mereka dengan niat yang tidak baik.
Menurut afidavit yang difailkan, Syed Saddiq menyatakan pihaknya menerima surat daripada ROS yang menyatakan permohonan untuk mendaftarkan parti itu ditolak kerana tidak mematuhi Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966 namun tiada sebarang perincian mengenai ketidakpatuhan tersebut.
“Penaja-penaja Muda tidak dapat mengetahui akan ketidakpatuhan yang dikatakan itu dan tidak dapat membetulkannya. Muda telah mematuhi sepenuhnya semua peruntukan Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966. Oleh itu, tidak ada asas untuk menolak permohonan pendaftaran Muda,” katanya.
Oleh itu, kesemua penaja memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan bertulis ROS itu dan perintah mandakmus (memaksa) untuk mendaftarkan Muda sebagi sebuah parti politik.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan permohonan Muda untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang sah ditolak oleh responden pertama tanpa memberikan sebarang alasan setelah hampir empat bulan menghantar permohonan.
Pada tarikh sama, pendaftaran parti baharu pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut ditolak.
Bagaimanapun pada 8 Januari lalu, Pejuang telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dan ROS yang mana surat rayuan berkenaan diserahkan melalui serahan tangan kepada ketua Pengarah jabatan itu. -UTUSAN ONLINE