MPK hanya keluarkan notis amaran kepada pemilik rumah anjur kelas al-Quran - Utusan Malaysia

MPK hanya keluarkan notis amaran kepada pemilik rumah anjur kelas al-Quran

Unit Komunikasi Korporat dan Kemasyarakatan MPK berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang gusar berkaitan aktiviti itu yang diadakan di kawasan kejiranan mereka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menegaskan pihaknya hanya mengeluarkan notis amaran terhadap seorang pemilik rumah kerana menganjurkan kelas pengajian al-Quran sekaligus melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Unit Komunikasi Korporat dan Kemasyarakatan MPK berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang gusar berkaitan aktiviti itu yang diadakan di kawasan kejiranan mereka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“MPK ingin merujuk kepada satu isu tular yang telah disebarkan melalui laman media sosial Facebook dan juga aplikasi WhatsApp berkenaan seorang pemilik rumah yang telah dikenakan tindakan kerana menjalankan aktiviti Kelas Pengajian al-Quran di rumah kediaman semasa PKP.

“Kegusaran ini berlaku disebabkan terdapat aktiviti kelas yang dilakukan secara berkumpulan atau ramai dan tidak mematuhi SOP yang telah dikeluarkan, maka bertindak daripada aduan yang diterima, anggota penguat kuasa MPK telah hadir ke alamat yang diberikan dan telah bertemu dengan pemilik rumah kediaman tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, hasil siasatan mendapati pemilik rumah tersebut mengaku telah mengadakan kelas terbabit dengan melibatkan tenaga pengajar yang hadir ke rumahnya selain terdapat tujuh murid yang terdiri daripada anaknya serta jiran.

Menurut kenyataan itu juga, notis amaran itu dikeluarkan kepada pemilik rumah sebagai langkah mencegah berlakunya apa-apa penyakit berjangkit, boleh berjangkit atau boleh dicegah.

“MPK ingin menegaskan sekali lagi bahawa hanya notis amaran yang telah dikeluarkan kepada pemilik dan bukan tindakan kompaun sebagaimana yang telah ditularkan.

“MPK sekali lagi ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk bersama-sama mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN