Mohon maaf terbuka, atau berdepan tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Mohon maaf terbuka, atau berdepan tindakan undang-undang

MUHYIDDIN Yassin diberikan perintah HSO dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta Jumaat lalu. - GAMBAR PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi diminta membuat permohonan maaf terbuka atau berdepan tindakan undang-undang kerana melemparkan fitnah kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantin sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, Perdana Menteri telah diserahkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta pada Jumaat lalu.

“Pejabat Perdana Menteri menafikan sekeras-sekerasnya fitnah yang dibuat Mohd. Puad.

“Fitnah yang dilemparkan itu adalah berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau sekiranya beliau gagal memohon maaf secara terbuka,” katanya hari ini.

Dalam kenyataan dalam Facebooknya, Mohd. Puad mengkritik kelonggaran diberikan terhadap menteri yang kembali daripada tugas rasmi di luar negara apabila hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari.

Mohd. Puad menyifatkan arahan baharu itu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan kini sudah seperti undang-undang ‘antara dua darjat’.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN