Mohamed Apandi gesa Tommy disiasat  - Utusan Malaysia

Mohamed Apandi gesa Tommy disiasat 

APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggesa siasatan dijalankan terhadap Tan Sri Tommy Thomas kerana didakwa memfitnah serta melanggar undang-undang kerahsiaan negara menerusi buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Mohamed Apandi Ali mendakwa, hasil penelitian terhadap buku itu mendapati penulisan bekas Peguam Negara itu adalah tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah terhadapnya terutama dalam muka surat 99.

Selain itu, beliau mendakwa, Tommy didapati mendedahkan perkara-perkara sulit yang tertakluk kepada udang-undang kerahsiaan negara termasuk urusan negara, perbincangan kabinet serta hal berkaitan Peguam Negara. 

“Saya percaya beliau masih tertakluk kepada sumpah untuk memegang rahsia yang diikrarkan semasa memegang jawatan tersebut. Pada saya, ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan. 

“Justeru, buku, penerbit serta penulisnya perlu disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan seksyen berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini semalam.

Mohamed Apandi hadir bersama peguamnya Datuk Baljit Singh tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 2.15 petang.

Dalam pada itu, Mohamed Apandi berkata, tujuannya membuat laporan polis adalah untuk memastikan semua pihak yang telah dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku itu mendapat keadilan.

Jelasnya, kandungan dalam buku tersebut menunjukkan sifat Tommy yang memandang rendah dan tidak menghargai individu yang merupakan tulang belakang perundangan negara.

“Semasa memegang jawatan itu, pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara tidak kenal penat dan sanggup kerja tanpa mengira masa.

“Saya tidak sesekali melepaskan cerita atau maklumat, walaupun dalam buku memoir saya kerana semua yang saya tahu adalah rahsia negara,” ujarnya.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan satu kertas siasatan terhadap Tommy dibuka berhubung dakwaan memfitnah selepas menerima laporan daripada bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Fadzil turut tidak menolak kemungkinan Tommy dipanggil dalam masa terdekat ini bagi membantu siasatan.

Mohamad Hanafiah dalam laporannya mendakwa, dalam buku itu, Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN