Mogok syarikat kurier : Pengguna boleh tuntut barangan rosak kepada TTPM - Utusan Malaysia

Mogok syarikat kurier : Pengguna boleh tuntut barangan rosak kepada TTPM

ROSOL Wahid (dua dari kanan) berbual dengan seorang pembeli semasa melawat kedai runcit bergerak, Prihatin Mart di Kampung Pela, Hulu Terengganu, hari ini. -UTUSAN/ NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Pengguna yang berdepan kerosakan barangan dengan tindakan mogok beberapa pekerja syarikat kurier di Perak boleh memfailkan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, saluran itu boleh digunakan orang ramai sekiranya pihak syarikat kurier mahu pun penjual barangan yang dibeli gagal menyelesaikan masalah dihadapi.

Katanya, pengguna diminta merujuk terlebih dahulu dengan kedua-dua pihak berkenaan bagi membuat aduan dan menuntut kerugian atas kerosakan dialami.  

“Jika syarikat kurier atau penjual gagal menyelesaikan masalah itu, maka pengguna yang teraniaya boleh memfailkan tuntutan ke TTPM bersama dokumen dan bukti lengkap untuk mendapatkan hak mereka,” katanya.

Beliau diminta mengulas tindakan beberapa pekerja syarikat kurier J&T Express (J&T) Perak yang membaling barangan pelanggan di sebuah gudang yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Video berdurasi 15 saat itu dikatakan berpunca akibat soal komisyen dan gaji, bagaimanapun kesemua tujuh pekerja terlibat telah tampil memohon maaf kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Rosol berkata, mana-mana pengguna yang berdepan penipuan pembelian dalam talian termasuk diberikan barangan tiruan di samping masalah kelewatan boleh membuat aduan di pelbagai saluran termasuk aplikasi Ez ADU bagi membolehkan siasatan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Bagaimanapun, katanya, pengguna juga perlu mengenal pasti jenis-jenis item yang dilarang dihantar menerusi perkhidmatan kurier seperti barangan kemas bagi mengelak sebarang masalah jika berlaku kejadian kehilangan atau kerosakan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN