Menteri, troll, rumah kaca dan KPI - Utusan Malaysia

Menteri, troll, rumah kaca dan KPI

zulkifli jalil
ZULKIFLI JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKARANG waktu yang sungguh sensitif dan kritikal.

Rakyat sedang pasang mata, telinga. Di sebalik kesan pandemik Covid-19 dalam setahun ini yang mengharukan kehidupan, kumpulan yang dipanggil netizen atau warganet cukup kuat menghidu segala macam perilaku pihak lain, sebelum troll dan tularkan.

Apa lagi kalau individu yang jadi mangsa berprofil tinggi dan pegawai tinggi kerajaan termasuklah para menteri. Setiap aksi, dengan latar belakang kiri kanan atas bawah gambar dipantau dan dirakam.

Pantang silap sikit, habis ‘dibalun’ dalam laman sosial. macam-macam julukan diberi kepada pak menteri, yang bikin kita tersenyum kala sendirian.

Benarlah kata-kata bijaksana merumuskan – hidup berpolitik atau berjawatan menteri semacam tinggal dalam rumah kaca.

Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang tidak harus dibuat. Kerana nanti orang akan nampak, sekali gus mudah bertindak balas.

Lalu dikatakan penghuni rumah kaca jangan buang batu. Nanti apabila orang baling batu, rumah pecah.

Sayangnya tidak semua ahli politik berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa.

Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Keaiban meletus tidak disangka-sangka.

Kesilapan yang dilakukan dalam politik besar risikonya. Seseorang yang memegang jawatan tinggi perlu cermat dalam serba-serbi tindakan. Termasuklah kenyataan kepada media atau pandangan masyarakat seluruhnya kepada perwatakan dan dirinya. Ada belaka padahnya.

Setelah anda menjadi type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan.

Beberapa pemimpin kita dalam politik mengalami slings and arrows of outrageous fortune, mungkin seperti dikatakan oleh Hamlet yang jelas dan tepat “To be or not to be?” – itu persoalannya”.

Suatu ketika prestasi menteri-menteri kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 menjadi ‘buah mulut’ rakyat. Sebilangannya di bawah standard Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang sepatutnya.

Ketika belum berkuasa, ada kalangan pemimpinnya berjanji seolah-olah mereka adalah ‘superman’ untuk selamatkan negara. Malangnya selepas berkuasa, mereka ternyata tiada idea sehinggakan terpaksa copy paste daripada apa yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu. Bahkan ada buat u-turn, yang ketara flip-flop nya.

Sering saya menggunakan bidalan yang dipakai Bob Hope, si penghibur Hollywood. Mendiang pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka.

Hope menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, ‘sehinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka’.

Ini hanyalah suatu gurauan. Namun ia menjelaskan kehadiran politik dalam kehidupan semua orang – tidak kira sama ada beliau seorang menteri atau tidak.

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya