NIBONG TEBAL: Pekerja ladang di sini terkejut selepas menjumpai mayat seorang lelaki yang sudah reput di dalam sebuah tong dram di sebuah kebun di Tiga Kongsi, Simpang Ampat, di sini semalam.
Pemotong sawit berkenaan menjumpai mayat dipercayai lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an itu kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pekerja berkenaan pada mulanya mendakwa terhidu bau busuk dari sebuah tong besar berwarna biru sebelum menghubungi majikannya yang kemudian membuat laporan polis.
Tambah beliau, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mayat yang tidak dapat dikesan identitinya itu memakai seluar pendek dan berkemeja-T.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira sebulan lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mengecut dan kering,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada badan mayat dan polis tidak menemukan apa-apa kesan lain di sekitar lokasi kejadian.
“Kita sedang melakukan siasatan lanjut dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Beliau berkata, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Seberang Jaya di sini bagi mengetahui punca sebenar kematian. – UTUSAN ONLINE