Maszlee bidas Asyraf isu buku teks sejarah - Utusan Malaysia

Maszlee bidas Asyraf isu buku teks sejarah

DR MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menghentam Pakatan Harapan (PH) berkaitan isu buku teks Sejarah tingkatan empat yang didakwa dimanipulasikan dan mengagung-agungkan komunis.

Maszlee berkata, tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali kerana sukatan dan silibus mata pelajaran Sejarah diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan bukannya ketika PH memerintah.

Beliau yang menerajui kementerian itu selama 20 bulan sejak Mei 2018 berkata, proses menggubal Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk sesuatu subjek memerlukan proses yang panjang dan dijadualkan secara teratur.

“Untuk pengetahuan, kurikulum Sejarah telah disemak semula pada 2014 dan diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada 1989.

“Ini bererti, kohort pelajar tingkatan satu pada 2017 akan memasuki tingkatan empat pada 2020. Kesimpulannya, KSSM ini telah bermula pada 2017 yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah daripada parti UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah tingkatan empat KSSM.

Menurutnya, perkara itu seperti usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan ideologi Malaysian Malaysia dan secara halus menyucikan pemikiran pelajar.

Dalam pada itu, tambah Maszlee, tuduhan berkenaan disifatkan sebagai tindakan melulu, tanpa usul periksa dan mempamerkan sisi tidak mahir tentang proses dan tatacara penggubalan kurikulum.

“Mustahil PH melakukan semua proses itu dalam masa setahun lebih memerintah kerana proses penggubalan kurikulum sebenarnya mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan panel pakar berpengalaman dalam subjek Sejarah.

“Mereka terdiri daripada pakar sejarah terkenal dalam negara, pensyarah universiti, pensyarah institut pendidikan guru, guru pakar dan guru-guru mata pelajaran Sejarah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya