Masalah internet Tanjong Karang selesai 2022 - Utusan Malaysia

Masalah internet Tanjong Karang selesai 2022

NOH (dua kanan) dan Ismail (kiri) meninjau di Pusat Internet Malaysia Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor, petang tadi.-UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa masalah capaian talian internet di seluruh kawasan Tanjong Karang akan selesai pada hujung tahun hadapan.       

Memaklumkan perkara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, proses menambah baik itu bakal melibatkan 15 kampung pedalaman menerusi tiga fasa yang telah dikenal pasti SKMM.

Noh berkata, hasil pemantauan SKMM sejak pertengahan tahun lalu mendapati capaian internet di semua kampung itu masih lemah.

“Selain faktor lokasi di pedalaman, masalah ini antaranya berpunca akibat kekurangan penggunaan fiber optik internet.

“Oleh demikian, SKMM akan menambah baik sistem internet di semua menara pencawang sedia ada bermula suku pertama tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Internet Malaysia Sungai Sireh, Tanjong Karang di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Pengarah SKMM Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ismail Othman dan Ketua Wilayah Tengah Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Zuraidah Mohd. Said.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan akses internet yang lemah mengakibatkan ibu bapa terpaksa menanggung kos tinggi membeli data pelbagai jenis syarikat telekomunikasi bagi memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian.

Pada Jun tahun lalu, Noh meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperluaskan dan meningkatkan capaian internet dan jalur lebar di Parlimen Tanjong Karang bagi memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, jelas Noh, masalah capaian internet itu perlu segera diselesaikan bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi pendidikan rakyat setempat.

Menurutnya, daerah Tanjong Karang kini merupakan kawasan separuh bandar dengan arus pembangunan yang semakin rancak dan pesat membangun.

“Talian internet yang sempurna sememangnya amat penting dan saya bersyukur masalah itu bakal selesai secara berperingkat.   

“Kita turut mencadangkan penambahan pusat internet kepada rakyat selepas penambahbaikan capaian ini selesai,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN