BENTONG: Petugas barisan hadapan di Kampung Kemansur di sini mempunyai tukang masak sendiri iaitu pada setiap hari akan menyediakan menu masakan panas kepada mereka.
Inisiatif berkenaan adalah atas usaha Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong bersama komuniti masyarakat Sikh Bentong.
Jasvir berkata, tukang masak berkenaan ditempatkan di sebuah dewan bersebelahan pondok kawalan Kampung Kemansur bermula semalam sehinggalah kawalan di situ yang diperketatkan dengan pemasangan kawat besi ditamatkan.
Jelasnya, insiatif itu sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengawal keselamatan siang dan malam demi memutuskan penularan pandemik Covid-19.
“Apa diharapkan, sumbangan ini dapat menceriakan petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga serta berdepan risiko dalam memastikan keselamatan masyarakat,” katanya selepas majlis simbolik penyampaian sumbangan itu di Pondok Kawalan Kampung Kemansur di sini semalam.
Yang hadir sama, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Aida Munira Abdul Rafar dan Ketua Balai Polis Bentong, Asisten Superintenden Muhammad Hafiz Abdullah.
Sementara itu, Mohd. Zulkifli mengalu-alukan dan menghargai sumbangan oleh pelbagai pihak kepada petugas barisan hadapan di daerah ini.
Setakat ini katanya, terdapat 12 kes positif Covid-19 dan 68 individu dilaksanakan Perintah Pengawasan Pemerhatian di Rumah (HSO) di Kampung Kemansur.
“Pemasangan kawat di sekitar Kampung Kemansur ini adalah aktiviti kawalan dalaman di sini untuk memperketatkan kawalan dan bukannya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ( PKPD),”ujarnya.- UTUSAN ONLINE