MARDI perkenalkan inovasi bantu petani tingkat hasil pendapatan - Utusan Malaysia

MARDI perkenalkan inovasi bantu petani tingkat hasil pendapatan

RONALD Kiandee (kiri) menunjukkan cili yang menggunakan TrichoSHIELD Teknologi Pengeluaran Cili Segera Organik pada Majlis Pelancaran Teknologi ISR Pisang, Produk Biopestisid Alternatif Mesra Alam TrichoSHIELD dan Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Segera Organik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan tiga produk inovasi bagi membantu petani meningkatkan hasil pendapatan.

Inovasi tersebut ialah ‘Teknologi Kerintangan Sistemik Teraruh (ISR) untuk Kawalan Penyakit Darah Pisang (ISR)’, ‘Produk Biopestisid Alternatif Mesra Alam TrichoSHIELD’ dan ‘Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik’.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, inovasi berkenaan meliputi pengeluaran tanaman pisang dan cili yang mampu dikomersialkan dalam tempoh enam bulan lagi selepas petani dan pembekal diberikan pendedahan.

Beliau berkata, teknologi ISR dihasilkan MARDI dalam meningkatkan kerintangan pokok pisang  dalam menangani penyakit darah pisang atau penyakit layu bakteria berpunca daripada bakteria perosak ralstonia syzygii subsp. celebesensis

“Penyakit ini telah menyebabkan industri pisang negara lumpuh pada 2007 dengan kehilangan hasil sehingga 65 peratus dan secara tidak langsung meningkatkan nilai import daripada RM0.3 juta kepada RM180 juta pada 2018,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Ronald berkata, pisang adalah tanaman buah-buahan popular di Malaysia dengan keluasan bertanam mencecah 30,684 hektar selain menjana 345,850 tan metrik hasil. 

“Bagaimanapun, pokok pisang ini terancam dengan kehadiran sejenis penyakit dinamakan penyakit darah pisang. 

“Melalui teknologi ISR, kerintangan ini boleh diaruh dengan menginokulasi inokulan ISR pada pangkal pokok dan teknik kawalan ini telah diuji cuba di ladang dan berjaya mengawal penyakit sehingga 92 peratus,” katanya. 

Bagi TrichoSHIELD pula, Ronald berkata, ia berasaskan Trichoderma strain tempatan khusus untuk kawalan penyakit antraknos pada tanaman cili organik dan konvensional yang diformulasi dalam bentuk talc powder yang berpotensi untuk kawalan penyakit antraknos pada tanaman cili. 

“Teknologi ini diaplikasi secara semburan foliar yang dapat mengurangkan jangkitan penyakit antraknos di ladang sehingga 88 peratus dan membantu meningkatkan hasil cili sehingga 54 peratus serta mesra alam dan menjamin keselamatan produk makanan,” katanya. 

Menurutnya, buku manual teknologi pengeluaran cili secara organik pula berpotensi  menjadi rujukan utama. 

“Buku ini meliputi kaedah-kaedah daripada pengurusan pengeluaran anak benih sehingga ke pengendalian lepas tuai,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN