Mara sangkal dakwaan MRSM tidak patuh SOP - Utusan Malaysia

Mara sangkal dakwaan MRSM tidak patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini menafikan tuduhan kononnya Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM) Sungai Besar tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan wabak Covid-19 di sekolah terbabit.

Mara dalam satu kenyataan berkata, MRSM tersebut sebaliknya telah mengambil tindakan segera dengan mewujudkan pasukan petugas khas diketuai pengetua dan guru serta kakitangan yang beroperasi 24 jam sejak hari pertama gejala Covid-19 bagi melaksana kerja sanitasi berdasarkan nasihat serta pemantauan pihak bomba.

Katanya, sanitasi keseluruhan bangunan maktab telah dilakukan oleh pihak bomba pada 29 Januari 2021 lalu dan Mara sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sejak wujudnya gejala dan kes kontak rapat di kalangan pelajar.

” Di samping itu, para pelajar lain turut dikawal pergerakan dengan mewujudkan sekatan laluan yang perlu untuk memastikan pengasingan dan penjarakan dilaksanakan secara teratur mengikut SOP keselamatan.

” Malah, salah seorang pelajar yang bergejala telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang. Walau bagaimanapun pelajar berkenaan tidak kritikal hanya mengalami gejala batuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular kiriman mesej di Whatsapp yang mendakwa bahawa pelajar MRSM terbabit tidak mendapat bekalan makanan secukupnya.

Selain itu turut dinyatakan dalam mesej tersebut bahawa pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan, serta dakwaan wujudnya masalah SOP keselamatan melibatkan sanitasi, pembekalan pelitup muka.

Dalam pada itu, Mara akan sentiasa memastikan pelajar-pelajar MRSM mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN