Maqis rampas pisang, nanas tanpa permit import sah - Utusan Malaysia

Maqis rampas pisang, nanas tanpa permit import sah

SEBAHAGIAN daripada pisang yang cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import sah dirampas oleh Maqis di ICQS, Durian Burung, Padang Terap, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah berjaya merampas sebanyak 750 kilogram (kg) pisang dan 130 kg nanas berjambul tanpa permit import sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung, Padang Terap, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Lily Rosalind Paul berkata, kesemua barang dagangan itu dibawa menggunakan sebuah lori yang cuba memasuki negara ini dari Thailand menerusi ICQS Kota Putra kira-kira pukul 4.15 petang.

Menurutnya, pisang yang dirampas itu diisi dalam 43 bakul manakala nanas pula dimuatkan dalam 13 bakul berasingan.

“Pemandu lori itu gagal mengemukakan permit import sah dikeluarkan Maqis menyebabkan kesemua barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM1,576 dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lily Rosalind menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta sama.

“Kami memberi amaran kepada semua pihak bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan setiap barangan pertanian yang masuk ke negara ini, mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN