Maqis rampas lima tan ais krim - Utusan Malaysia

Maqis rampas lima tan ais krim

MAQIS Perlis menahan sebuah lori kotena yang membawa ais krim bernilai kira-kira RM33,346 di Unit Kargo Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini, Jumaat lalu.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri merampas ais krim seberat 4,838.4 kilogram bernilai kira-kira RM33,346 berikutan dokumen sijil kesihatan dari negara pengeksport yang dikemuka tidak tepat dan mengelirukan di Unit Kargo Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini, Jumaat lalu.

Pengarah Maqis negeri, Mohamad Arshad Raffin berkata, ais krim yang dibawa dari Thailand itu dirampas ketika pihaknya mengadakan pemeriksaan rutin terhadap sebuah lori kontena kira-kira pukul 3.15 petang.

Katanya, dagangan tersebut ditahan untuk tindakan lanjut oleh pihak Maqis kerana dipercayai mengemukakan dokumen sijil kesihatan dari negara pengeksport yang tidak tepat dan mengelirukan ketika pemeriksaan dijalankan.

“Perbuatan mengimport barang dagangan dengan mengemukakan dokumen mengelirukan disiasat dibawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Menurutnya, Maqis sentiasa memantau barang dagangan yang berkaitan dengan veterinar, perikanan atau pertanian untuk memastikan barangan tersebut selamat dimakan oleh rakyat di negara ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN