Mangsa kebakaran ditempatkan di rumah transit - Utusan Malaysia

Mangsa kebakaran ditempatkan di rumah transit

HALIMATON Shaadiah Saad (tengah) memberikan sumbangan barang keperluan kepada salah seorang mangsa kebakaran di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok, Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesemua 10 keluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok dekat sini semalam akan ditempatkan sementara di rumah transit di Taman Pulasan, Jitra dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, penghuni terlibat juga boleh menyewa di rumah lain yang berada berdekatan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan lanjut bagi membantu penduduk terlibat termasuk menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Gemilang.

“Penduduk terlibat tidak boleh membina semula rumah di atas tapak sedia ada memandangkan tanah tersebut milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selain rizab sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada penduduk terlibat di sini hari ini.

Utusan Online semalam melaporkan sebanyak 10 buah  rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 3.43 petang.

Sementara itu, MCA Bahagian Alor Setar akan membiayai kos sewa rumah selama dua bulan bagi penduduk yang berpindah ke rumah sewa.

Penyelaras DUN Kota Darul Aman, Yu Kuan Khai berkata, penduduk perlu mencari sendiri rumah sewa yang dirasakan sesuai untuk mereka duduki dan memaklumkan kepada pihaknya.

Dalam pada itu, mangsa kebakaran, Zuraida Wahab, 46, berkata, dia sedih apabila hanya mampu menyelamatkan kad pengenalan serta beberapa sijil penting kerana api marak begitu cepat.

“Saya dan empat anak tinggal sehelai sepinggang selain semua peralatan berniaga makanan juga musnah dalam kebakaran,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya