KEMAMAN: Lebih 12,000 keluarga yang terjejas banjir di negeri ini menerima bantuan bernilai RM500.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan bantuan yang melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM6.4 juta itu dibuat secara berperingkat bermula hari ini.
Katanya, pemberian sumbangan itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung lebih 12,000 keluarga berkenaan di atas musibah yang melanda.
“Pengagihan bantuan pada hari ini adalah kerana monsun timur laut lazimnya berakhir selepas perayaan Capgome.
“Di samping itu, wakil-wakil rakyat juga dalam proses mengagihkan bantuan-bantuan lain yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan banjir daerah Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. -UTUSAN ONLINE