KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk membuat perancangan dalam jangka masa panjang dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Gesaan itu hadir berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua (PKP2.0) masih belum berakhir selain tidak membantu dalam menurunkan kes jangkitan di seluruh negara.
Ahli Majlis Tertinggi MIC, Mathuraiveran Maarimuthu berkata, kerajaan perlu mencontohi beberapa negara luar yang membuat perancangan jangka panjang dalam mengekang wabak berkenaan.
“Contohilah negara-negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Vietnam yang masih beroperasi sepenuhnya walaupun berdepan dengan gejala Covid-19 yang dikawal rapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kesihatan awam amat mustahak lebih lebih lagi berdepan COVID 19 tetapi mata pencarian rakyat turut mustahak untuk menampung kehidupan mereka. Tanpa kitaran ekonomi yang sejahtera tidak mampu negara stabil dan kompetetif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak akhir-akhir ini, negara telah kehilangan ‘taringnya’ sebagai Asian Tiger’ yang meletakkan ekonomi negara lain seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand yang menjangkaui negara ini dalam aspek kebolehpasarannya.
“Saya akui kita sudah mengambil sikap tegas dalam berdepan dengan Covid-19, tetapi kita haruslah sentiasa membudayakannya sebagai sebahagian daripada hidup kita.
“Masanya telah tiba untuk kita mengimbangi antara ‘live’ dan ‘livelihood’. Perhatian serius diperlukan untuk menilai semua risiko kecutan ekonomi yang memudaratkan negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE