Malaysia-Indonesia tentang diskriminasi minyak sawit - Utusan Malaysia

Malaysia-Indonesia tentang diskriminasi minyak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia menzahirkan kebimbangan terhadap kempen antiminyak sawit yang berlaku terutama di Eropah, Australia dan Oceania.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kempen tersebut tidak berasas dan tidak menggambarkan kelestarian industri sawit dunia serta bercanggah dengan komitmen Kesatuan Eropah (EU) kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai amalan perdagangan bebas.

Justeru, beliau memaklumkan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo bahawa Malaysia juga telah memfailkan tindakan undang-undang ke atas EU pada 15 Januari lalu di WTO, sama seperti yang telah dilakukan oleh Indonesia pada Disember 2019 yang lalu.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam isu diskriminasi minyak sawit terutama memperkasakan Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC).

“Ini bagi memastikan kita dapat melindungi industri sawit, terutamanya bagi menyelamatkan berjuta-juta pekebun-pekebun kecil yang bergantung hidup sepenuhnya kepada industri sawit di Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, hari ini.

Pertemuan itu sempena lawatan sulung Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 kerana mendapat jemputan khas daripada Joko Widodo atas dasar menghormati negara berkenaan sebagai rakan negara serumpun yang telah menjalin persahabatan akrab selama berpuluh tahun.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berhubung rundingan Reciprocal Green Lane (RGL) Scheme atau Travel Corridor Arrangement Framework, skim itu bertujuan merangsang semula perdagangan dan pelaburan di antara Malaysia dan Indonesia dalam tempoh pandemik Covid-19.

Dalam hal itu, Perdana Menteri berharap kedua-dua pihak dapat menggiatkan lagi rundingan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan RGL tersebut yang mana perbincangan awal telah pun dimulakan di peringkat kerja.

“Saya percaya kedua-dua negara akan mencapai kata sepakat mengenai SOP ini dalam waktu terdekat.

“Apa yang penting ialah pihak berkuasa kesihatan kedua-dua negara perlu meneliti dan menilai situasi semasa Covid-19 di kedua-dua negara sebelum ia dapat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN