Malaysia-Indonesia rangka kerjasama isu alam sekitar, jerebu rentas sempadan - Utusan Malaysia

Malaysia-Indonesia rangka kerjasama isu alam sekitar, jerebu rentas sempadan

Indonesia mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu jerebu yang berlaku sekarang, - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia merangka kerjasama dalam menyelesaikan isu alam sekitar termasuk perkara berkaitan perubahan iklim dan jerebu rentas sempadan di antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui kerjasama itu, agensi-agensi yang bertanggungjawab di kedua-dua negara akan dapat berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan ladang dan tanah gambut.

Dalam hal itu, kata Perdana Menteri, kedua-dua kementerian yang bertanggungjawab juga akan mewujudkan ‘Focal Point’ bagi memudahkan komunikasi dalam isu alam sekitar dan jerebu rentas sempadan.

Selain itu, menurut Perdana Menteri, perbincangan bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo juga menyentuh mengenai memorandum persefahaman (MoU) Garis Panduan Umum yang merupakan satu inisiatif baik bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan nelayan kedua-dua negara yang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan yang mempunyai isu maritim.

“Malaysia berharap agar kesemua agensi penguatkuasaan kedua-dua negara terus memberikan komitmen penuh terhadap pelaksanaan MoU tersebut,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, hari ini.

Pertemuan itu sempena lawatan sulung Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 kerana mendapat jemputan khas daripada Joko Widodo atas dasar menghormati negara berkenaan sebagai rakan negara serumpun yang telah menjalin persahabatan akrab selama berpuluh tahun.

Berhubung situasi di Laut China Selatan, Malaysia berpandangan bahawa isu tuntutan maritim di perairan tersebut dan penyelesaiannya hendaklah dibuat secara aman berdasarkan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuklah The United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS)1982.

Kata beliau, semua pihak perlu mengelak dari mengambil tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif serta mengelak tindakan berkaitan ketenteraan.

Dalam hal itu, Muhyiddin berkata, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

“Hasil daripada perbincangan kami pada hari ini, saya berpendapat sudah sampai masanya bagi hubungan kerjasama Malaysia dan Indonesia dipertingkatkan lagi ke peringkat yang strategik.

“Dengan peningkatan hubungan dua hala yang strategik, saya yakin kita dapat mengoptimumkan kerjasama yang sudah terjalin terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya berkata, pengukuhan rangka kerjasama ini mencerminkan tekad dua pemimpin serumpun untuk berganding bahu demi menjana kemakmuran bersama.

Dalam hal itu, kedua-dua pemimpin negara memberi mandat kepada Menteri Luar negara masing-masing untuk mengenal pasti bidang-bidang strategik yang boleh diberi keutamaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN