PETALING JAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mewujudkan hubungan baik dengan negara-negara luar sekali gus menjadi punca kebanyakan pelabur asing mengetepikan Malaysia menyebabkan ekonomi Malaysia terus merudum.
Kerajaan PN yang ketika ini tidak lagi mempunyai majoriti harus matang menerima kegagalan pentadbirannya dan menyerahkan kuasa kepada individu yang lebih layak.
Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mempunyai hubungan lebih baik dengan pemimpin dunia..
“Kerajaan jelas tidak efisien dalam menggalas tanggungjawab untuk membawa masuk pelabur asing. Mereka bukan sahaja kehilangan pelabur asing sedia ada tetapi juga menakutkan pelabur asing yang mempunyai potensi untuk melabur di Malaysia.
“Kerajaan kini sememangnya jelas tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan dan semakin banyak kita akan kehilangan pelabur asing. Sementara itu, jika kita perhalusi perkara ini, Anwar dilihat lebih layak untuk memimpin negara ini terutama dengan kelebihan beliau yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan ramai pemimpin dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan Malaysia melihat kejatuhan ketara pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bagi tahun 2020 sebanyak 68% kepada AS$2.5 bilion berbanding lima negara ASEAN yang lain.
Tambah Ramanan, walaupun negara dilanda pandemik, kerajaan harus bijak mengemudi sistem pentadbiran negara supaya terus mendapatkan pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam negara.
“Kerajaan harus sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat terutama dalam isu moratorium. Lanjutan moratorium merupakan jalan penyelesaian jangka pendek. Peningkatan agresif dalam ekonomi amat diperlukan supaya rakyat dapat dibantu.
“Ribuan rakyat sudah kehilangan pekerjaan, peniaga kehilangan modal perniagaan dan rakyat semakin susah, sebelum keadaan menjadi parah, kerajaan harus mencari cara yang tepat untuk membantu mereka,” katanya.
Ramanan turut membidas sikap Kementerian Kewangan yang seolah-olah tidak mengendahkan luahan hati rakyat yang sedang kesusahan.
“Kita sedia maklum bahawa ada institusi-institusi kewangan yang bertindak zalim kepada rakyat dengan mengenakan faedah yang lebih tinggi kepada mereka yang melanjutkan moratorium.
“Menteri kewangan sepatutnya tahu tugas beliau adalah untuk melindungi kepentingan rakyat dan jangan lalai dengan tanggungjawab itu dengan bersikap pro-banker,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE