JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga asnaf yang ditempatkan di sebuah rumah transit di Flat Taman Impian Skudai, di sini meninggalkan kediaman yang disediakan percuma oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dalam keadaan kotor dan menjijikkan.
Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Khirul Nizam Mat Said berkata, keluarga asnaf bersama sembilan anak terbabit dibantu sejak tahun 2015 termasuk ditempatkan di rumah tersebut yang dikendalikan bahagian Baitulmal MAINJ.
Menurutnya, keluarga itu juga telah menandatangani polisi sebelum memasuki rumah itu antaranya menjaga kebersihan dan keadaan rumah yang didiami.
Bagaimanapun, ujar beliau, dua tahun kemudian, pihaknya menerima aduan dari jiran sekeliling yang tidak selesa dengan tahap kebersihan keluarga itu.
“Pada 2017, kami menerima aduan dari ketua blok yang menyatakan jiran sekeliling keluarga asnaf ini tidak selesa dengan keadaan tahap kebersihan mereka.
“Apabila keluarga ini melanggar polisi kediaman, kami menasihati mereka. Pihak MAINJ tidak boleh menghalau asnaf kerana kami yang membantu mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurut Khirul Nizam, keluarga itu antara yang paling lama mendiami rumah transit di kawasan itu kerana keadaan keluarga terbabit yang mempunyai sembilan anak yang kecil dan masih bersekolah.
Menurutnya, pada akhir 2019, MAINJ dimaklumkan ketua blok terbabit bahawa keluarga asnaf itu tidak lagi duduk di rumah transit tersebut dan mereka meminta rumah itu dibersihkan kerana berbau terlalu busuk.
“Kami tidak boleh membuang barangan keluarga asnaf terbabit, kami berusaha mencari keluarga ini, selepas hampir setahun kami berjaya bertemu keluarga ini tinggal di kawasan setinggan di Kampung Sepuluh Plentong,” katanya.
Jelas Khirul Nizam, pihaknya percaya keluarga itu telah meninggalkan rumah terbabit selepas tidak membayar bil api dan elektrik sehingga berlaku pemotongan bekalan utiliti itu.
Ujarnya, selepas bertemu dengan keluarga terbabit dan mereka memberi kebenaran, pihak MAINJ membuat kerja pembersihan selain membaiki kerosakan termasuk pintu, cat, tikar getah dan kemudahan lain.
“Selepas semuanya siap dibaik pulih, kami akan memberikan tempat transit itu secara percuma kepada asnaf lain yang layak,” katanya. -UTUSAN ONLINE