GEORGETOWN: Sekumpulan lapan sahabat diberkas polis ketika bermain judi jenis pakau di kondominium mewah yang dijadikan inap desa di Sungai Pinang di sini awal pagi semalam.
Suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40-an itu ditahan sepasukan polis daripada bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah negeri kira-kira pukul 2.30 pagi.
Op Limau tersebut turut mendapat kerjasama anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) negeri.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai peralatan perjudian termasuk wang tunai bernilai RM13,000.
Turut dirampas adalah buku catatan dipercayai berkaitan pinjaman wang haram daripada salah seorang suspek berusia 30-an.
Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 16 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Salah seorang daripada mereka turut disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengesahkan penahanan suspek dan memberitahu, polis akan mengambil tindakan berterusan terhadap pelbagai aktiviti haram terutama sepanjang PKP. – UTUSAN ONLINE