Lintang-pukang lari tinggalkan 21 lembu seludup - Utusan Malaysia

Lintang-pukang lari tinggalkan 21 lembu seludup

SEBAHAGIAN lembu seludup yang dirampas PGA di sebuah kandang dekat Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas 21 lembu seludup bernilai RM58,000 di sebuah kandang di Kampung Bendang Pak Yong, di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan pada pukul 1 pagi, PGA turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan selepas mengaku kandang lembu itu miliknya.

Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, sebelum kejadian, anggota PGA terserempak dengan beberapa lelaki yang sedang mengheret lembu masuk ke kandang.

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki berkenaan terus lintang-pukang melarikan diri dan meninggalkan haiwan berkenaan di kawasan kandang.

“Hasil pemeriksaan lanjut, PGA telah menemui 21 lembu yang masih berada dalam keadaan basah selain tidak mempunyai tag di telinga.

“Lembu-lembu ini dipercayai dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand menggunakan pangkalan haram berhampiran Sungai Golok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nor Azizan memberitahu, ketika pemeriksaan, seorang lelaki tampil mengaku sebagai pemilik kandang, namun, gagal mengemukakan dokumen rasmi berkaitan pemilikan lembu-lembu tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya lembu-lembu yang dibawa masuk ini untuk tujuan sembelihan. Dagingnya kemudian akan dijual ke pasar-pasar berdekatan,” ujarnya.

Kes disiasat bawah Seksyen 11 (1) Akta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) 2011. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya