KANGAR: Lima penyeludup yang leka memunggah 300 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM30,000 dari dua buah kereta dicekup oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah di pintu 3 tembok sempadan Malaysia-Thailand, Bukit Putih, semalam.
Komander PPM Wilayah Satu, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, Unit Risikan PPM dan anggota Martek Kuala Perlis tiba di lokasi kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, pihaknya mendapati terdapat dua kereta jenis Proton Persona dan Perodua Axia yang disyaki membawa muatan daun ketum untuk diseludup ke Thailand melalui jalan darat tembok sempadan.
“Ketika itu, semua suspek sedang leka memunggah bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum manakala pemandu kereta tersebut masih berada di tempat duduk pemandu dengan enjin kereta masih hidup.
“Pemeriksaan menemukan 300 kilogram daun ketum dalam kenderaan tersebut. Kesemua suspek ditahan dan barang rampasan di bawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah Rosman, nilai rampasan keseluruhan daun ketum termasuk dua buah kenderaan itu adalah kira-kira RM80,000.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -UTUSAN ONLINE