KLANG: Tindakan seorang lelaki yang memuat naik video mengatakan telah membunuh beberapa lelaki warga Indonesia berbangsa Aceh dan meminum darah individu yang dibunuhnya mengundang padah apabila dia ditahan Tanjung Sepat, dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima beberapa kandungan video menerusi aplikasi WhatApps pukul 3.30 petang pada Selasa lalu.
Menurutnya, video itu memaparkan seorang lelaki telah membunuh beberapa orang lelaki Indonesia berbangsa Aceh dan telah minum darah orang yang dibunuhnya selain turut menyiarkan alamatnya.
“Keesokan harinya, tular video lain menunjukkan lelaki terbabit telah dipukul beberapa individu yang marah atas kenyataan yang dibuatnya di Taman Selat Damai Pendamaran, Klang.
“Oleh demikian, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor telah melancarkan gerakan mengesan kesemua suspek yang terlibat. Susulan itu, kita telah menahan dua individu termasuk lelaki yang mendakwa membunuh bangsa Aceh kira-kira pukul 10 malam Selasa lalu dan 5.30 petang semalam di sekitar Tanjung Sepat, Kuala Langat dan Klang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua individu terbabit mendapati kedua-dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kedua-dua mereka telah dibenarkan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE