Lelaki tumpang tidur di rumah teman wanita dicekup

Lelaki tumpang tidur di rumah teman wanita dicekup

PEGAWAI Penguat Kuasa PADK melakukan soal siasat terhadap pasangan yang ditahan dalam operasi pencegahan maksiat di Kulim malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki memberi alasan datang ke rumah sewa teman wanitanya untuk menumpang tidur ketika dicekup penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dalam operasi pencegahan maksiat di sini malam semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 12.16 tengah malam itu, lelaki bujang berusia 36 tahun itu ditemukan bersembunyi di sebalik pintu bilik di tingkat atas rumah tersebut.

Pasangan terbabit merupakan antara tiga pasangan yang ditahan dalam operasi yang dilakukan di sekitar taman perumahan pekan Kulim.

Pegawai Penguat Kuasa PADK, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, lelaki terbabit yang berasal dari Pulau Pinang dipercayai datang ke daerah ini untuk bertemu teman wanitanya berusia 19 tahun.

“Wanita itu pula bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang dan menyewa sebuah rumah di sini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, penguat kuasa mengetuk pintu rumah berkenaan sebelum dibuka seorang wanita dan hasil pemeriksaan menemui teman lelakinya di sebalik pintu sebuah bilik di tingkat atas rumah.

“Hasil soal siasat, lelaki terbabit memaklumkan dia sengaja datang tidur di rumah teman wanitanya itu,” ujarnya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah rumah taman perumahan di Air Merah di sini kira-kira pukul 2.45 pagi ini, pihaknya menahan dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun serta dua wanita berusia 16 dan 36 tahun.

Katanya, dua wanita terbabit mereka memberi alasan menumpang di rumah dua lelaki berkenaan kerana belum dapat menyewa rumah lain.

“Wanita itu merupakan ibu saudara kepada remaja perempuan berusia 16 tahun dan mereka baru tiga minggu datang ke Kulim untuk bekerja di sebuah restoran di sini,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan dalam dua serbuan itu gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak mereka melakukan maksiat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri 2014,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya