Lelaki terima upah RM30 seludup minyak dicekup - Utusan Malaysia

Lelaki terima upah RM30 seludup minyak dicekup

Penyeludupan minyak masak bersubsidi berlaku di seluruh negara termasuk di Selangor dan Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Lelaki yang diberi upah sebanyak RM30 bagi setiap ‘trip’ menyeludup minyak masak peket bersubsidi dicekup anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pasir Mas, semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu dicekup selepas anggota KPDNHEP Cawangan Pasir Mas dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya menahan kereta suspek di Kampung Slow Machang, di sini pada pukul 2.30 petang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Pasir Mas, Suhaimi Abas berkata, penahanan suspek membawa kepada rampasan minyak masak peket bersubsidi bernilai RM2,085.

Menurutnya, suspek cuba bertindak melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan yang dipandu sehingga mengakibatkan kenderaan tersebut telah terjunam ke dalam tali air selepas terkejut dengan kehadiran anggota penguat kuasa.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan itu telah menjumpai 834 kilogram minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Suhaimi memberitahu, siasatan awal mendapati suspek menggunakan kenderaan sendiri bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa.

Katanya, kesemua barangan seludup itu akan dibawa ke pangkalan haram sebelum dibawa masuk ke negara jiran menggunakan laluan tikus.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah Rm 6,085.

“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.

Suhaimi berkata, siasatan lanjut akan terus dijalankan bagi menjejaki ‘dalang’ sebenar di sebalik aktiviti tersebut.

Katanya, KPDNHEP Pasir Mas memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja yang melakukan penyelewengan terutamanya berhubung barang kawalan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya