BUTTERWORTH: Lelaki yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan bersama sejumlah dadah berdekatan sebuah stesen minyak di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan semasa operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah SPU kira-kira pukul 11.30 malam.
Dalam operasi itu, katanya, sebanyak 500 biji pil disyaki Erimin 5 seberat 125 gram (g) dan sembilan paket dadah disyaki jenis ketamin (18g) bernilai RM9,300 dirampas daripada lelaki berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang tidak mempunyai rekod lampau itu juga mendapati dia turut positif dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya turut menyita sebuah motosikal jenis Honda EX5 bernilai RM3,000 dalam serbuan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE