JOHOR BAHRU: Cubaan lelaki bersama dua anak saudaranya yang menaiki Perodua Viva cuba melepaskan diri daripada pemeriksaan polis tidak berjaya apabila mereka ditahan kira-kira 45 minit kemudian di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 14 hingga 47 tahun ditahan dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu.
Katanya, kejadian bermula ketika unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara melakukan tugas rondaan cegah jenayah sebelum ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan di sekitar Taman Skudai Baru.
Tambahnya, menyedari kehadiran unit MPV, suspek mula bertindak memecut kenderaan itu ketika dihampiri pasukan polis peronda terbabit.
“Polis kemudian meminta suspek memberhentikan kenderaan tetapi arahan itu tidak diendahkan malah suspek terus memecut melarikan diri. Sebuah kereta peronda berjaya menghalang laluan kereta suspek namun pemandu itu bertindak agresif dengan melanggar belakang kereta berkenaan dalam cubaan untuk melepaskan diri.
“Setelah gagal mengelak daripada terus dikejar unit MPV, suspek kemudiannya memberhentikan kereta di Taman Ungku Tun Aminah dan cuba melarikan diri lagi tetapi mereka berjaya diberkas selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular satu video berdurasi 27 saat di laman sosial hari ini memaparkan aksi dua buah MPV mengejar suspek yang menaiki kereta Perodua Viva berwarna hitam.
Dalam video pendek itu menunjukkan suspek bertindak agresif melanggar belakang kereta peronda bagi melarikan diri dan kelihatan kereta dipandu suspek turut dikejar oleh sebuah motosikal penghantar makanan.
Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu oleh suspek berusia 47 tahun bersama dua orang anak saudaranya.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati salah seorang dari mereka adalah orang dikehendaki bagi kes di IPD Johor Bahru Selatan manakala hasil saringan awal air kencing mendapati seorang daripada mereka turut positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) kerana berada di luar melebihi masa yang ditetapkan tanpa alasan yang munasabah.
Suspek yang positif dadah turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE