Lanjutan PKPD di sebuah sekolah di Gerik sehingga 1 Mac

Lanjutan PKPD di sebuah sekolah di Gerik sehingga 1 Mac

PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah 2 di Gerik, Perak dilanjutkan lagi sehingga 1 Mac kerana terdapat empat kes positif baharu Covid-19 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperkatatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah 2 di Gerik, Perak yang bermula pada 6 Februari lalu terus dilanjutkan lagi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sepatutnya berakhir pada 19 Februari ini, namun perlu disambung selama 10 hari lagi sehingga 1 Mac depan.

“Langkah ini susulan pengesahan Kementerian Kesihatan bahawa terdapat pertambahan empat kes positif baharu Covid-19 hari ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Justeru ujar beliau, ujian saringan kali kedua akan dilaksanakan ke atas semua pelajar dan setakat ini, sebanyak 256 ujian saringan sudah dilaksanakan pihak kementerian tersebut.

Bagaimanapun katanya, setelah dibuat penilaian risiko bersama-sama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di lokaliti berkenaan.

Sekolah tertua di Daerah Gerik itu terletak dalam kawasan berpagar seluas 4.2 hektar dan ada dua blok asrama pelajar lelaki dan perempuan selain tujuh rumah didiami guru warden.

Ia merupakan institusi pendidikan kedua di Perak yang dikenakan PKPD selepas Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Yahyawiyah di Padang Rengas pada awal November lalu.

Sementara itu kata Ismail Sabri lagi, PKPD selama 14 hari sejak 6 Februari lalu di Kampung Sebako 1 dan 2, Daerah Lundu, Sarawak akan ditamatkan mengikut jadual pada hari esok.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melakukan 505 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 24 kes positif Covid-19 sudah direkodkan,” tambahnya.

Kesemua yang positif itu ujarnya, dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dengan kontak rapat turut diasingkan di rumah serta dipantau rapi sehingga hari yang ke-14.

Perkampungan ini terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu negeri, Kuching dengan PKPD di lokaliti itu diumum Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada 5 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN