Laman khas minyak sawit dilancar sebagai kempen norma baharu - Utusan Malaysia

Laman khas minyak sawit dilancar sebagai kempen norma baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memperkenalkan laman sesawang rasmi www.sawit.com.my sebagai antara inisiatif kempen Sawit Anugerah Tuhan.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, laman tersebut memaparkan pelbagai maklumat terkini berhubung minyak sawit Malaysia dan segala aktiviti kempen itu.

“Saya menyeru orang ramai agar melayari laman ini untuk mengikuti perkembangan semasa program yang dijalankan sepanjang kempen berlangsung sehingga akhir tahun ini,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan secara maya Kempen Sawit Anugerah Tuhan di sini hari ini dalam suasana norma baharu susulan pandemik Covid-19 ketika ini.

Ia usaha kementerian dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) meningkatkan kesedaran awam berhubung manfaat komoditi itu sambil menghargai dan menyokong industri tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, pelaksanaan kempen kali ini dibuat dalam talian dan secara maya supaya masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pelancaran juga diadakan berlainan berbanding dengan acara-acara kementerian sebelum ini bagi melibatkan semua lapisan rakyat melalui penggunaan luas media sosial,” katanya.

Ini ujar beliau termasuk elemen pendidikan, tarikan visual dan nilai estetika mengenai minyak sawit selain peraduan yang menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi peserta.

Pada masa sama, beliau berharap orang ramai dapat mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat tepat komoditi itu sebagai anugerah tidak ternilai Tuhan perlu dilindungi sentiasa.

Mohd. Khairuddin menambah, menerusi kempen tersusun, rakyat negara ini pasti menerima baik fakta minyak sawit memberi manfaat kepada ekonomi, sosial, kesihatan dan alam sekitar.

“Rakyat perlu jadi benteng melindungi komoditi utama negara kita sebagai permulaan untuk ajak dunia bersama memperjuangkan sawit sebagai anugerah Tuhan untuk alam,” katanya.

Antaranya kata beliau, tidak ramai tahu minyak sawit digunakan meluas untuk pembasmian virus Covid-19 melalui sabun, pencuci dan cecair sanitasi dalam industri farmaseutikal global.

Tanaman itu tegas beliau, tidak sahaja menjana rezeki untuk lebih 450,000 pekebun kecil dan keluarga mereka, ia juga menjadi penyumbang ekonomi kepada pendapatan utama negara.

Justeru jelas Mohd. Khairuddin, peranan sektor sawit tempatan bukan sekadar menawarkan peluang luas pekerjaan, faedah komoditi itu penting kepada kestabilan pembangunan negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN