Lagi PKPD di Sitiawan, kali ini di Hostel Centennial Insight - Utusan Malaysia

Lagi PKPD di Sitiawan, kali ini di Hostel Centennial Insight

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas lebih 400 penduduk di Kampung Teluk hari ini gembira tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kini giliran satu lagi lokaliti yang berdekatan situ pula.

Ia melibatkan Hostel Centennial Insight di Kampung Aceh, Setiawan, Perak mengandungi 160 unit apartmen di 10 buah blok setinggi empat tingkat yang menempatkan para pekerja kilang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 21 Februari, Kementerian Kesihatan melakukan 349 ujian saringan dan 125 orang daripadanya positif.

“Kementerian itu mengesahkan berlaku peningkatan kes baharu Covid-19 secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Justeru ujar beliau, setelah membuat penilaian risiko bersama dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD yang bermula esok hari.

Langkah ketat selama tempoh 14 hari sehingga 10 Mac itu kata beliau, bagi memudahkan Kementerian Kesihatan membuat saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama.

“Ini juga untuk mengawal pergerakan mereka dan mengelak berlaku penularan wabak dalam komuniti yang merupakan pekerja dari beberapa kilang di sekitarnya itu,” jelas Ismail Sabri.

Hostel berpusat itu difahamkan mampu menampung sejumlah 2,000 penghuni dan kawasan tersebut mula beroperasi sejak 2013 dengan kos pembinaan fasiliti sebanyak RM25 juta.

Beliau turut memaklumkan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) semalam membuat 53 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara dengan cuma tiga tidak beroperasi.

“Sementara selebihnya itu didapati mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan sejak 20 April tahun lalu, sejumlah 8,875 tapak binaan telah pun diperiksa CIDB,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya