JOHOR BAHRU: Seramai 804 pemilik unit rumah di Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini dijangka menerima kunci kediaman masing-masing menjelang suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Hasleen Isnin berkata, jumlah itu melibatkan blok A, B, C, D dan E di kawasan perumahan itu.
“Kumpulan pertama yang sudah menerima kunci adalah pembeli dari Blok F melibatkan sebanyak 168 unit merangkumi 160 unit kediaman dan lapan unit kedai.
“Penyerahan kunci kepada 168 unit ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 972 unit rumah dan kedai selepas memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Perdana Fasa 1 itu dilakukan di Hotel Double Tree di sin, padai Jumaat lalu yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Sementara itu, Hasleen berkata, projek perumahan itu sebelum ini berdepan kelewatan sejak 2013 akibat mempunyai masalah dengan kontraktor yang diamanahkan.
“Masalah tersebut akhirnya diselesaikan dengan melantik kontraktor baharu pada penghujung 2019 selepas kegagalan kontraktor terdahulu.
“Kejayaan ini merupakan komitmen pengurusan SPNB untuk menyelesaikan masalah berbangkit yang dihadapi masyarakat,” katanya. -UTUSAN ONLINE