PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan berhasrat membuka sebuah ladang khas di Kuala Lumpur untuk dimanfaatkan golongan gelandangan bandar untuk menjadi petani moden.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, idea unik itu tercetus selepas beliau sendiri ‘turun padang’ meninjau kehidupan golongan tersebut di sekitar ibu negara tanpa disedari mereka.
Ujarnya, beliau pernah ada terfikir rancangan khusus untuk kelompok berkenaan dihantar ke luar bandar bagi mengusahakan kebun sayur yang hasil tuaiannya boleh dijual di pasar tani.
“Namun, mereka didapati memang suka kehidupan bandar raya, tidak mahu keadaan desa yang tenang tapi mungkin gemar suasana bising ada bunyi LRT,” katanya dalam nada seloroh.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar secara maya mengenai pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar memberitahu pernah cuba memohon sebidang tanah kecil daripada beberapa kerajaan negeri untuk gelandangan bandar seperti konsep peneroka skim Felda.
Ia susulan pengalaman beliau yang mendapati ada gelandangan terbabit tidak minat kerja ‘makan gaji’ dalam sektor perkilangan, perkhidmatan pembersihan dan bidang seumpamanya.
“Baru-baru ini misalnya sekitar 200 gelandangan diselamatkan, ada tidak sihat selain berusia lanjut malah 10 orang positif Covid-19, mereka lebih sesuai bekerja tani di ladang,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, pada ketika ini gelandangan wanita ditempatkan sementara di Anjung Singgah manakala lelaki pula di Dewan Orang Ramai Sentul sehingga akhir bulan ini.
Pada masa sama Annuar berkata, kementerian itu sedang menyiapkan sebuah rumah khas untuk mereka dan sebidang tanah lapang untuk pertanian bandar tidak jauh dari lokasi itu.
Beliau turut menyarankan kelompok itu dijenamakan semula dengan gelaran ‘Wira Hijrah’ kerana berpendapat istilah gelandangan yang digunakan selama ini kedengaran agak kasar.
Menyentuh program MyBeras di bawah inisiatif MyFood kelolaan kementerian tersebut, beliau berkata, usaha itu ketika ini mendapat sambutan luar biasa terutama kalangan korporat.
“Asalnya saya mahu agih 3,000 kampit beras seminggu, tetapi kini insya-Allah mungkin boleh 5,000 kampit seminggu dengan sasaran penghantaran tiga kali setiap minggu,” katanya.
Untuk memastikan sumbangan diterima sasaran, pihaknya mungkin mengagihkan kupon atau dihantar terus ke rumah bagi mengelakkan penerima bersesak teruk dan beratur panjang.
Kaedah itu ujar Annuar, demi memastikan prosedur operasi standard dipatuhi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dibimbangi berlaku penularan wabak Covid-19.
Penerima tersebut katanya, boleh menerima bantuan itu setiap bulan dan ia mungkin diteruskan lagi selama enam bulan sejajar tema kali ini ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’.
Dianggarkan lebih 30,000 isi rumah di Wilayah Persekutuan hidup di bawah garis kemiskinan nasional yang baharu dipinda termasuk 178 lokaliti dikenal pasti di seluruh Kuala Lumpur. -UTUSAN ONLINE