Kuota haji diketahui selepas SOP dimuktamadkan Arab Saudi - Utusan Malaysia

Kuota haji diketahui selepas SOP dimuktamadkan Arab Saudi

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan beg makanan kepada petugas Jakim dari kalangan berpendapatan B40 di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah kuota jemaah haji Malaysia pada musim ini kemungkinan besar dapat diketahui selepas prosedur operasi standard (SOP) urusan ibadah fardu itu dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setakat ini, belum ada lagi kenyataan rasmi berhubung isu kuota tersebut dari pihak kerajaan Arab Saudi.

“Jadi, kita kena tunggu dan lihat terlebih dahulu, SOP di pihak kita (Malaysia) sudah pun siap, namun, kita juga perlu lihat SOP di sebelah sana (Arab Saudi) pula untuk diselaras,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas kepada 10 petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Mereka antara lebih 200 kakitangan agensi itu termasuk dalam golongan berpendapatan B40 menerima sumbangan beg makanan bernilai RM100 dan wang tunai RM100 setiap seorang.

Juga hadir Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Ajib Ismail.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, isu kuota antara perkara akan dibincang dalam pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kerajaan Arab Saudi pada bulan hadapan.

“Insya-Allah!, Pejabat Perdana Menteri akan keluar kenyataan rasmi berhubung perjumpaan ini pada Mac dan banyak isu terkait pejabat saya sendiri termasuk umrah serta haji,” katanya.

Semalam, agensi berita rasmi Bernama melaporkan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian mengesahkan lawatan Muhyiddin ke negaranya.

Namun, tarikh sebenar belum ditetapkan lagi dan Zulkifli disahkan akan turut serta dengan perbincangan antara dua negara itu mengenai isu umrah selain kuota haji untuk musim kali ini.

Malaysia tidak tersenarai dalam 20 negara dilarang memasuki Arab Saudi termasuk untuk urusan ibadah umrah sebagai langkah pengekangan jangkitan wabak Covid-19 di negara itu.

“Kita ada rangka SOP dengan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, tetapi kita perlu semak juga dengan SOP dibuat pihak Arab Saudi,” kata Zulkifli.

Beliau menjangkakan, setelah dimuktamadkan SOP protokol kesihatan yang seragam antara kedua-dua negara, Malaysia bakal dapat menghantar jemaah umrah terlebih dahulu.

Arab Saudi mula menggantung kemasukan warga asing termasuk urusan umrah pada akhir Februari tahun lalu sebelum dibuka semula sejak awal November lepas secara berperingkat.

Dianggarkan lebih 50,000 jemaah Malaysia yang sudah berdaftar gagal menunaikan ibadah umrah apabila kerajaan negara Asia Barat itu menutup pintu sempadannya awal tahun lalu.

Selain itu, sejumlah 31,600 bakal jemaah haji negara ini juga tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima tersebut pada musim lalu setelah Arab Saudi menyekat kemasukan warga asing.

Sebelum penularan pandemik Covid-19, jemaah umrah Malaysia menduduki tempat kelapan paling ramai mengerjakan ibadah itu, jatuh berbanding posisi keempat sebelum tahun 2018. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya