PUTRAJAYA: Penghantaran pertama vaksin Covid-19 keluaran syarikat Sinovac dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH319 pada pukul 9 pagi, esok yang dikendalikan MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).
Menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), perjalanan vaksin itu dari kilang Sinovac di Beijing, China diuruskan oleh Sinovac dan Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. melalui perjanjian di peringkat global.
Katanya, vaksin ini tiba secara pukal dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter dan diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 300, yang boleh diproses menjadi lebih dari 300,000 dos.
“Malaysia dijadualkan memperoleh 14 juta dos vaksin Sinovac secara berperingkat yang akan melindungi 22 peratus penduduk di Malaysia.
“Perolehan vaksin Covid-19 Sinovac adalah bukti kepada hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketibaan vaksin tersebut akan disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Turut hadir ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.- UTUSAN ONLINE