Kuih bakul cita rasa Melayu laris - Utusan Malaysia

Kuih bakul cita rasa Melayu laris

NOR Aishah Nazir menunjukkan kuih bulan yang dijual di kedai Kek & Roti Seringgit di Pasir Puteh Sentral, Pasir Puteh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kuih bakul cita rasa Melayu yang dihasilkan Nor Aishah Nazir laris bagaikan ‘pisang goreng panas’ memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina.

Nor Aishah, 34, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Teknologi Visual dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kuih itu bukan hanya digemari kaum Cina malah turut mendapat sambutan orang Melayu.

Menurutnya, dalam tempoh dua minggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, lebih 300 biji kuih bakul perlu dihasilkan setiap hari bagi memenuhi tempahan pelanggan.

“Tahun lalu proses pembikinan kuih bakul ini dijalankan di ruang dapur rumah namun tahun ini saya mengambil pendekatan membuka kedai kek dan menggunakan khidmat tujuh pekerja untuk membantu memasak adunan kuih berkenaan.

“Kita juga menerima tempahan daripada pelbagai bangsa, tidak hanya di sekitar Pasir Puteh tetapi dari negeri lain yang memerlukan dalam jumlah yang banyak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kedai Kek & Roti Seringgit, Pasir Puteh Sentral di sini baru-baru ini.

Menurut Nor Aishah, selain kuih bakul, dia turut menerima tempahan kuih bulan dalam kalangan masyarakat Cina yang dijual pada harga lebih mahal berbanding kuih bakul.

“Kuih bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, adunan biji teratai atau kuning telur masin yang dijual pada harga RM11 sebiji berbanding RM7.50 untuk kuih bakul.

“Pembikinan kuih tersebut juga dimodenkan dengan menggunakan plastik sebagai pembungkus berbanding penggunaan daun pisang sebelum ini,” jelasnya.

Ibu kepada enam anak itu berkata, resipi kuih bakul diperoleh daripada seorang rakan keturunan Cina yang diolah semula sesuai dengan cita rasa orang Melayu.

Menurutnya, setiap sebiji kuih bakul dengan timbangan 300 gram dikukus selama lapan jam bagi menghasilkan tekstur yang lembut.

“Saya memilih bersara awal sebagai penjawat awam untuk menjalankan perniagaan dengan mengusahakan pelbagai jenis kek dan roti yang turut mendapat permintaan menggalakkan,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya