Kuih angku buatan Nur Azreen jadi pilihan - Utusan Malaysia

Kuih angku buatan Nur Azreen jadi pilihan

NUR Azreen Ku Abdullah Nur Azreen menunjukkan kuih angku yang ditempah oleh pelanggannya sempena Tahun Baharu Cina pada kali ini ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Nyior, Seremban, semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setiap kali tiba perayaan Tahun Baharu Cina, kuih angku memang menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat Cina untuk dinikmati bagi menyambut perayaan tersebut.

Tidak terkecuali dalam kalangan masyarakat peranakan Baba Nyonya yang berasal dari Melaka, kuih tersebut juga amat digemari namun ketika ini ia sukar didapati apatah lagi yang halal.

Ibu tunggal, Nur Azreen Ku Abdullah, 59, dari Taman Nyior dekat sini berkata, dia mewarisi bakat membuat pelbagai jenis kuih seperti kuih chang, kuih bakul termasuk kuih angku dari keluarganya yang berketurunan Baba Nyonya di Melaka.

“Kuih angku ini seperti kuih koci, namun, berlainan rasanya kerana ia tidak mempunyai santan. Ia merupakan kuih tradisional masyarakat Cina terutama musim perayaan.

“Tahun ini, tidak ramai yang menempah kuih ini kerana tidak ramai yang pulang meraikan Tahun Baharu Cina namun tempahan tetap ada walaupun sedikit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Tambah Nur Azreen, kuih angku ini agak mudah dibuat dan hanya perlu dikukus selama 10 minit.

“Saya boleh menyiapkan kuih ini seorang diri lebih 200 hingga 300 biji kerana agak mudah.

“Hanya perlu dikukus di atas api selama 10 minit, namun, sekiranya dikukus atas kayu api ia lebih sedap,” katanya.

Dia yang memeluk agama Islam pada November 2006 berkata, dia sebelum ini hanya menjual nasi lemak dan kuih-muih di gerai di taman perumahan tersebut.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya hanya menerima tempahan melalui Facebook. Selalunya pelanggan akan menempah sehingga 200 biji kuih ini.

“Saya aktif juga menyertai dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan daripada situ saya menerima tempahan hasil promosi mulut ke mulut,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan tiga orang cucu.

Ketika ditanya mengenai sambutan perayaan tahun ini, dia berkata, hanya menyambutnya berseorangan sambil menyiapkan beberapa tempahan kuih.

“Dua orang anak saya berada di Singapura dan mereka tidak dapat pulang, jadi saya ambil peluang kali ini untuk menerima tempahan kuih-muih,”katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN