Kuala Perlis masih suram walaupun PKPP - Utusan Malaysia

Kuala Perlis masih suram walaupun PKPP

SALOMA Abdul Razak (kiri) termenung bersama pekerjanya, Zanabi Yusof menanti pelanggan di gerainya di pesisir pantai Kuala Perlis, semalam. – MINGGUAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di seluruh negeri ini sejak semalam, namun nasib peniaga di sekitar Kuala Perlis di sini masih lagi kabur berikutan kekurangan pengunjung di kawasan tumpuan pelancong itu.

Tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar kawasan pesisir pantai Kuala Perlis petang semalam mendapati hampir 50 peratus restoran dan gerai makan masih ditutup manakala peniaga yang beroperasi pula hanya mampu melihat meja-meja kosong tanpa pelanggan.

Pemilik kedai Ema Ikan Bakar, Saloma Abdul Razak, 35, berkata, hasil jualannya sehingga petang hanya sekitar RM200 berbanding modal sebanyak RM1,500 yang dikeluarkan bagi membeli bahan mentah.

Selain itu katanya, dia juga perlu menanggung kos per­belanjaan lain seperti bil utiliti termasuk gaji pekerja seramai 10 orang dan melihat kepada situasi semasa apabila masih tidak ramai pelanggan boleh menyebabkannya mengalami kerugian besar.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya memang tidak buka kedai langsung kerana tahu akan menanggung rugi akibat ketiadaan pelanggan. Kawasan Kuala Perlis ini ramai pelanggan yang terdiri daripada pelancong luar.

“PKPP ini saya harap boleh membantu perniagaan namun setakat ini orang masih tidak ramai dan tidak tahulah keadaan pada cuti hujung minggu bagaimana.

“Saya berharap kerajaan dapat buka sempadan untuk ren­tas Kedah dan Perlis sahaja kerana itu sudah cukup untuk kami peniaga bernafas semula. Hari ini, saya tidak menyediakan ikan untuk menu ikan bakar, kalau tidak mungkin jumlah kerugian lebih banyak lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, pemilik gerai masakan panas Kak Pah, Sharifah Kamaruddin, 40, berkata, pada hari pertama PKPP, tidak sampai lima pelanggan di kedainya.

“Saya pilih tidak buka kedai sepanjang PKP kerana keba­nyakan pelanggan datang bersama keluarga. Kalau hanya dua orang sahaja duduk di meja, mereka mungkin tak mahu ma­suk, “ ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN