PUTRAJAYA: Kritikan pemimpin DAP terhadap tindakan kerajaan meningkatkan nilai maksimum kompaun RM10,000 atas perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disifatkan hanya bermotifkan politik.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, mereka tidak sepatutnya berbuat demikian di saat pelbagai usaha sedang dilaksanakan demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara.
Apatah lagi katanya, tujuan nilai kompaun dinaikkan bukan untuk memeras wang rakyat tetapi meningkatkan pematuhan orang ramai terhadap SOP PKP yang semakin tidak dipedulikan rakyat.
“Apabila wabak Covid-19 berleluasa dengan kadar pesakit baharu harian meninggi, kerajaan juga yang mereka salahkan, tetapi bila langkah agresif memeranginya diumumkan maka pihak kerajaan juga yang mereka salahkan, semua tidak kena di mata mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kritikan itu disuarakan Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh yang menyifatkan denda RM10,000 keterlaluan dan melampau kerana jumlah itu boleh menjadi pendapatan seseorang dalam setahun.
Katanya, pemimpin DAP sepatutnya tahu dan sedar kerana mereka yang gagal mematuhi SOP PKP tidak semestinya akan dikenakan kompaun RM10,000.
Ini kerana katanya, nilai sebenar mungkin jauh lebih rendah dan tertakluk kepada pertimbangan pegawai yang mengenakan kompaun.
Begitu pun, jelas beliau, penetapan nilai maksimum RM10,000 sudah pasti akan menggerunkan orang ramai untuk melanggari SOP PKP.
“Jika mereka bimbang pengenaan kompaun melebihi RM2,000 akan menghilangkan kelayakan mereka sebagai wakil rakyat, maka ia tidak berasas kerana perkara itu hanyalah membabitkan kesalahan jenayah.
“Nilai kompaun maksimum RM1,000 kepada individu dan syarikat sebelum ini terlalu terkebelakang dan kecil, sehinggakan ada individu serta banyak pusat hiburan berulang kali melanggari SOP PKP kerana tidak mempunyai sebarang masalah untuk membayarnya,” katanya.
Oleh itu, beliau meminta semua pihak mengetepikan politik kepartian, sokonglah usaha memerangi wabak Covid-19. -UTUSAN ONLINE