KPM digesa prihatin dengan bebanan guru - Utusan Malaysia

KPM digesa prihatin dengan bebanan guru

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mempertimbangkan semula keputusan mewajibkan guru-guru untuk menjalani jadual kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sama seperti jadual di sekolah.

Dalam satu kenyataan media, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik meminta pihak kementerian mengetepikan panduan terbaharu PdPR bagi melindungi kesihatan mental para guru yang telah berusaha keras melaksana PdPR.

“Mendesak guru untuk melaksanakan jadual persis seperti mengajar di sekolah ketika menjalankan PdPR adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah.

“Saya percaya, ramai guru berhempas pulas melaksanakan PdPR mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Oleh yang demikian, saya menyeru agar panduan PdPR seperti yang telah tersebar baru-baru ini segera diketepikan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, guru disaran supaya lebih kreatif dalam penyampaian bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan semasa pembelajaran PdPR.

Bagaimanapun, Maszlee berkata, beliau mendapat maklumat di mana guru-guru dipaksa untuk mengajar lebih daripada lima subjek.

Dia menjelaskan, para guru sudah bekerja keras dan mengerah tenaga serta mahu pihak kementerian memberikan sokongan terutama bagi menjaga kesihatan mental golongan itu.

“Saya juga mendapat maklumat ada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah mengeluarkan surat arahan memaksa para guru mengajar lima subjek sehari.

“KPM harus segera mencari jalan untuk meneliti isu kesihatan mental para guru. Hanya dengan cara ini, anak-anak kita akan dapat menjalani pendidikan terbaik walau hanya melalui PdPR” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN