KUALA SELANGOR: Tindakan sebuah kilang memproses sarung tangan getah menggunakan gas petroleum cecair bersubsidi sejak enam bulan lalu terbongkar apabila premis itu diserbu di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu, turut ditemukan 166 tong gas petroleum cecair bersubsidi yang berisi dan 159 yang tidak berisi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama dua bulan kerana berlaku aktiviti penghantaran gas petroleum cecair oleh pembekal ke kilang tersebut.
“Ketika serbuan dijalankan, terdapat seorang lelaki berusia 52 tahun dalam premis itu dipercayai pemilik syarikat berkenaan. Lelaki terbabit memaklumkan kilang ini baharu beroperasi sejak sembilan bulan lalu.
“Kilang ini menjalankan aktiviti memproses sarung tangan getah bagi pasaran di dalam negara dan menggunakan gas petroleum cecair bersubsidi sejak enam bulan lalu berikutan harganya jauh lebih murah daripada gas industri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, siasatan mendapati bekalan gas petroleum cecair bersubsidi diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal berlesen di Cheras, Kuala Lumpur.
“Kita anggarkan penggunaan tong gas petroleum cecair bersubsidi oleh kilang terbabit adalah mencecah 1,000 silinder setiap bulan.
“Selain merampas semua tong gas petroleum cecair bersubsidi, kita turut menyita sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut gas tersebut. Kita menganggarkan nilai rampasan keseluruhan termasuk gas petroleum cecair bersubsidi kira-kira RM75,000,” katanya.