Kongsi rezeki melalui Projek Gerobok Rezeki Al-Ansor - Utusan Malaysia

Kongsi rezeki melalui Projek Gerobok Rezeki Al-Ansor

ZAKARIA menunjukkan Gerobok Rezeki yang disediakan di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam, Selangor hari ini-UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menyedari ramai individu yang terkesan ketika pandemik Covid-19, Surau Al-Ansor di Seksyen 2 di sini mengambil inisiatif bagi membantu golongan ini dengan melancarkan Projek Gerobok Rezeki Al-Ansor.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Ansor, Datuk Zakaria Yusuf berkata, idea untuk memperkenalkan projek itu tercetus apabila ramai penduduk di sekitar Seksyen 2 mahu memberikan sumbangan kepada penduduk taman yang memerlukan.

“Oleh demikian, pihak jawatan kuasa surau berpendapat bahawa perlu diwujudkan satu pusat pengumpulan bahan makanan.

“Antara barangan yang disumbangkan ialah seperti makanan kering antaranya beras, gula, minyak masak dan lain-lain lagi di rak Gerobok Rezeki yang diletakkan di luar bangunan surau,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran projek itu di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya mengalu-alukan individu yang memerlukan untuk mengambil bahan makanan ini yang diletakkan di rak tersebut.

“Mereka boleh mengambil barang tersebut namun berharap mengikut apa yang diperlukan sahaja. Sasaran kita ialah membantu sebanyak mungkin penduduk sekitar daerah ini yang berada dalam kesusahan.

“Bagaimanapun, kami meminta mereka yang mengambil bahan makanan untuk mencatatkan butiran diri pada buku catatan yang diletakkan di tepi rak,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga mengalu-alukan orang ramai serta syarikat swasta untuk memberikan sumbangan bahan makanan kepada pihak surau.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan wang tunai boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Surau Al-Ansor 12038010014745.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN