PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan mendenda portal berita Malaysiakini menunjukkan bahawa pengamal media perlu mengawal selia komen pembaca dengan lebih agresif di alam maya.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpendapat, pengamal media bukan sengaja menyiarkan semua komen pembaca termasuk yang berbaur fitnah, sebaliknya pembaca dibenarkan memberikan pandangan kerana ia adalah platform media semata-mata.
Katanya, media mempunyai hak untuk membenarkan pembaca membuat komen di platform masing-masing kerana mahu membina hubungan dengan mereka dan cara meraih pendapatan.
Namun, beliau berpendapat, pengamal media perlu mempunyai pasukan khas untuk memantau komen berbaur fitnah dan menghina mahkamah.
“Kalau kita teliti surat khabar, mereka mempunyai ruangan pembaca yang diselenggara dengan betul dan cekap, jadi mereka perlulah melakukan perkara yang sama di ruangan komen alam maya.
“Dengan keputusan terhadap Malaysiakini, setiap syarikat media perlu tubuhkan pasukan pemantau komen. Kalau ada komen berbaur fitnah dan menghina mahkamah, mereka perlu ambil tindakan dan padam komen itu. Tapi kalau komen pembaca itu dibuat oleh akaun palsu, ia tidak boleh dibiarkan terlepas begitu sahaja,” katanya semalam.
Pada masa sama, Mohamed Haniff Khatri menggesa kerajaan menggubal akta khusus berkaitan penghinaan terhadap mahkamah kerana ketika ini pendakwaan dibuat menerusi Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah (Pindaan) 2012.
“Sehingga hari ini tiada undang-undang khusus berkenaan penghinaan mahkamah. Jika didakwa, perlu bermula di mahkamah mana, apakah jenis hukuman dan adakah boleh merayu?. Tiba masanya ahli-ahli Parlimen meminta Peguam
Negara dan Ketua Hakim Negara menggubal akta khusus berkaitan penghinaan mahkamah,” katanya.
Seorang lagi peguam, Aidil Khalid berkata, pengamal media turut tertakluk kepada Seksyen 114A dalam Akta Keterangan 1950 yang antara butirannya adalah menyebabkan pemilik sesebuah laman web bertanggungjawab terhadap isi kandungan platform masing-masing.
“Seksyen 114A ini memastikan semua pihak untuk melakukan saringan terhadap ruangan komen pembaca. Jadi kalau komen fitnah dan berbaur penghinaan tidak perasan dan tidak dipadam, ia akan dianggap menghina mahkamah.
“Kalau nak ubah, ahli Parlimen perlu pinda Seksyen 114A, lagi pun penghinaan mahkamah setakat ini belum ada garis panduan atau akta yang khusus untuk kesalahan tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE