Kluster Industri Serkam: 604 disahkan positif - Dr. Adham

Kluster Industri Serkam: 604 disahkan positif, kilang ayam ditutup

PEKERJA kilang didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan termasuk tinggal dalam keadaan bersesak dalam sebuah rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seramai 604 pekerja kilang pemprosesan ayam di Serkam di sini didapati positif Covid-19 selepas melakukan ujian calitan sejak awal bulan ini. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, 1,817 pekerja telah disaring melibatkan 443 pekerja tempatan manakala baki 1,428 pekerja pula terdiri daripada warga asing. 

Beliau berkata, kesemua pekerja yang bergejala telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor. 

DR. ADHAM BABA

“Sejak 1 Februari lalu, pihak majikan telah melaksanakan ujian calitan secara berperingkat melibatkan pekerja tempatan dan warga asing yang bekerja di kilang pemprosesan ayam. 

“Setakat ini seramai 604 telah didapati positif Covid-19 dan telah dihantar ke PKRC Maeps dan sebahagian yang tidak bergejala telah ditempatkan oleh Pejabat Kesihatan Jasin di kuarters asrama yang dimiliki dan dibiayai pihak majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas membuat tinjauan lapangan bagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, prosedur operasi standard (SOP) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di kilang pemprosesan ayam tersebut hari ini. 

Mengulas lanjut, Adham menambah, penularan Covid-19 di kilang berkenaan bermula daripada seorang pekerja di bahagian pemprosesan yang bergejala, namun tidak mendapatkan rawatan lanjut serta mengamalkan penjarakan yang ditetapkan sehingga mencetuskan Kluster Industri Serkam. 

“Selain pekerja ini, penduduk yang tinggal berhampiran kilang tersebut juga telah diminta untuk melakukan saringan Covid-19. 

“Seramai 154 penduduk setempat telah disahkan negatif, namun dikesan mempunyai kontak rapat dan diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing dengan dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 Kesang Tua dan Parit Gantung, Jasin,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kilang itu juga telah diarahkan ditutup serta-merta kerana gagal  gagal mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk tidak mengamalkan penjarakan sosial dan menempatkan pekerja dalam keadaan sesak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN