Kilang Silverstone Taiping henti operasi  30 Jun ini - Utusan Malaysia

Kilang Silverstone Taiping henti operasi  30 Jun ini

TANGKAP layar penutupan kilang Silverstone di Taiping serta notis diterima pekerja yang tular dalam media sosial. -GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kilang tayar Silverstone yang sudah beroperasi selama lebih 30 tahun di Kamunting, di sini  secara rasmi akan berhenti operasi pada 30 Jun ini.

Perkara itu turut dimaklumkan melalui laman web toyotires.com.my yang juga pemilik penuh syarikat itu semalam.

Difahamkan, jabatan sumber manusia dan wakil pengurusan kilang juga sudah mengedarkan notis kepada pekerja kilang berkenaan semalam.

Notis itu antara lain memaklumkan kepada semua pekerja situasi semasa dan masa depan Silverstone Berhad.

Menurut notis itu, satu sesi pertemuan antara pihak sumber manusia dengan pekerja akan diadakan bagi memberi penjelasan lebih terperinci dan menjawab sebarang pertanyaan dari pekerja sambil memaklumkan kebajikan pekerja tetap menjadi keutamaan syarikat.

“Pengeluaran tayar jenama Silverstone selepas ini akan dibuat di kilang Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd,” kata notis itu yang turut dikongsi beberapa pengguna laman Facebook semalam.

Menurut notis itu lagi, Toyo Tire Corporation menyatakan bahawa keupayaan kilang Silverstone yang berusia tiga puluh tahun telah menurun dari semua aspek termasuk mesin, kecekapan pengeluaran dan penyelenggaraan bangunan.

“Keadaan ini ditambah lagi dengan kesan pandemik Covid-19, telah memberi kesan negatif terhadap daya maju dan kesinambungan perniagaan. 

“Persaingan pasaran juga meningkat berikutan kemasukan tayar dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan China yang bersaing dalam segmen pasaran yang sama,” jelas notis berkenaan.

Jelas notis itu lagi, pengurusan syarikat akan memastikan segala terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Bersama (CA) dan undang-undang berkaitan dipatuhi sepenuhnya dalam tindakan susulan yang terpaksa diambil terhadap pekerja.

Pada 2011, Toyo Tire dilaporkan membeli syarikat Silverstone pada harga RM470 juta dan ia merupakan sebahagian daripada perancangan besarnya untuk mengembangkan operasinya dengan memasuki pasaran yang dimiliki oleh Silverstone.

Dalam kenyataan media Toyo Tires Corporation semalam,  operasi pengeluaran tayar dari anak syarikat milik penuhnya Silverstone Malaysia Bhd (SSM) pada akan ditamatkan pada Jun 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Toyo Tire, Takashi Shimizu, berkata selepas penamatan operasi pengeluaran tayar Silverstone di Kamunting, Taiping, kumpulan seterusnya akan membubarkan SSM. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya