Khaled tegur Annuar jangan kritik parti secara terbuka - Utusan Malaysia

Khaled tegur Annuar jangan kritik parti secara terbuka

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tan Sri Annuar Musa tidak seharusnya secara terus-menerus mengkritik parti secara terbuka seperti yang dilakukan beliau sekarang kerana langkah itu tidak menguntungkan UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, budaya itu tidak sihat dan hanya akan melemahkan semangat setiakawan selain secara sistematik juga mengelirukan parti.

Menurutnya, tidak wujud sebarang khabar atau ura-ura yang menjurus ke arah niat untuk memecat bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu daripada parti.

“Sebagai seorang ahli lama, beliau mempunyai akses kepada semua kepimpinan parti untuk menyatakan pendirian pandangan kritikal beliau.

“Tindakan mengkritik secara terbuka ini akan hanya memberi kesan kepada moral dan sokongan ahli parti serta masyarakat luar yang sedang memerhati UMNO secara rapat,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata, beliau tidak akan mengalah dalam usahanya menyatupadukan semua parti Melayu walaupun dipecat, bulan lalu.

Ujar Mohamed Khaled, UMNO sudah memutuskan untuk kembali menguatkan BN dan pada masa sama, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama-sama Pas dalam Muafakat Nasional.

“Segala kerjasama membentuk kerajaan hanya akan dipertimbang setelah pilihan raya dan dibuat bersandarkan mandat dan pilihan rakyat.

“Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, UMNO akan bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak UMNO dalam ikhtiar ini terletak kepada pilihan rakyat, semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, meskipun UMNO sedang mengusahakan penyatuan politik Melayu, hakikatnya parti itu sedar bahawa sokongan bukan Melayu turut penting sehingga tiada pihak yang dapat menafikan perkara itu.

Atas dasar itu, kata Mohamed Khaled, UMNO yakin BN adalah satu wadah dan platform yang lebih sesuai, inklusif dan bersifat jalan tengah untuk semua berbanding Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

“Seandainya UMNO sudah tidak elok dan gagal memahami aspirasi dan perjuangan peribadi Annuar, janganlah bermain tarik tali dan bertangguh-tangguh dengan UMNO ini.

“Ia hanya mengelirukan orang ramai. Tambahan pula parti ini sedang diperkasakan. Ini usaha yang kritikal dan besar. Jadi, UMNO memerlukan semua pihak untuk bersama-sama dalam perjuangan serta membantu mengukuhkannya.

“Bukannya membiarkan UMNO diserang, diperkotak-katikkan malah terus-menerus mempertahankan pula lawan dan mereka yang merendah-rendahkan UMNO,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN